Kerjaya kelab Matteo_Guendouzi

Kerjaya awal

Guendouzi telah memulakan kariernya di akademi Paris Saint-Germain semasa beliau berusia enam tahun. Beliau kemudiannya meninggalkan PSG untuk menyertai akademi Lorient pada tahun 2014. Selepas mewakili pasukan Lorient B, beliau telah ditawarkan untuk menyertai skuad utama pada tahun 2016.

Lorient

Guendouzi melakukan penampilan sulungnya untuk Lorient pada 15 Oktober 2016 ketika menentang Nantes dalam aksi Ligue 1 yang berakhir dengan kekalahan 1-2. Beliau seterusnya beraksi dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan.[4] Pada musim sulungnya di Lorient, pasukannya telah disingkirkan ke divisyen kedua dari Ligue 1 pada penghujung musim.[5][6]

Pada musim 2017–18, Guendouzi telah tampil dalam 21 perlawanan bersama Lorient yang menyaksikan pasukannya gagal untuk layak ke Ligue 1 selepas menduduki tangga ketujuh Ligue 2.[7]

Arsenal

Pada 11 Julai 2018, ketika jendela perpindahan musim panas, Guendouzi telah menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dengan bayaran yang tidak didedahkan tetapi nilai tersebut dipercayai sekitar 7 juta euro termasuk bonu.[8] Pada 28 Julai, beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Arsenal dalam perlawanan persahabatan menentang kelab lamanya, Paris Saint Germain di Singapura. Beliau beraksi sebagai barisan kesebelasan utama pasukan dan membantu Arsenal untuk membelasah Paris Saint Germain 5–1.[9] Pada 12 Ogos, Guendouzi melakukan penampilan sulungnya di Liga Perdana Inggeris dalam perlawanan pembukaan kempen menentang juara bertahan liga, Manchester City. Beliau berjaya melakukan 72 sentuhan dan menjadi pemain Arsenal paling banyak memegang bola namun pasukannya tewas 0-2 dalam perlawanan itu.[10]

Guendouzi menjaringkan gol sulung dalam kariernya pada 4 Oktober dengan membantu Arsenal meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Qarabağ yang berlangsung di gelanggang lawan.[11]